Jumaat, Februari 08, 2008

Tahukah Anda?


Gaya tidur dedah tingkah laku
"Sebuah artikel dari internetoleh : NAJIBAH HASSANSEORANG ahli psikologi salah sebuah universiti tempatan pernah berkata, tingkah laku manusia agak sukar untuk difahami. Ini kerana, ia umpama `topeng' yang dipakai dan boleh berubah-ubah mengikut tempat, masa dan keadaan. Sebab itulah, ada di kalangan pasangan suami isteri, rakan pejabat atau teman rapat masih belum dapat memahami hati budi masing-masing, sekalipun telah lama kenal antara satu sama lain. Personaliti atau tingkah laku membezakan antara seseorang dengan yang lain, tetapi ciri-ciri ini stabil sekalipun pada bila-bila masa dan keadaan. Personaliti berasal dari perkataan Latin, `persona' yang bermaksud topeng. Topeng-topeng yang dipakai ini sebetulnya, gambaran psikologi dalaman secara keseluruhan tentang diri kita. Andai dalam pergaulan seharian agak sukar bagi anda untuk `mentafsirkan' tingkah laku seseorang, mungkin anda boleh melihat cara tidurnya. Pengarah Khidmat Nasihat dan Penilaian Tidur, University of Surrey di selatan England, Profesor Chris Idzikowski telah mengenal pasti enam posisi tidur yang popular. Menurut beliau, kedudukan atau cara tidur ini menceritakan tingkah laku seseorang di bawah sedar. Ini kerana, ketika dalam keadaan jaga, ramai yang berhati-hati dengan bahasa tubuh.
1. Menelentang dengan kaki dan tangan yang terbuka luas Anda digambarkan sebagai seorang yang suka kebebasan dan seorang kekasih yang menyenangkan hati. Tetapi, anda seorang yang boros, anda bernasib baik kerana pendapatan juga lumayan. Satu lagi, sikap anda yang tidak digemari ramai orang ialah suka menjaga tepi kain orang dan seronok bergosip. Entah siapa pula selepas ini yang menjadi `mangsa' gosip anda!
2. Menelentang dan kaki bersilang Mereka yang tidur dengan gaya seperti ini adalah seorang yang memikirkan tentang dirinya dan sukar menerima perubahan. Mereka juga suka bersendirian tetapi seorang yang boleh bertolak ansur.
3. Menelentang dengan kedua-dua belah tangan diletakkan di bawah kepala Cara tidur seperti ini melambangkan individu tersebut mempunyai tahap kebijaksanaan yang tinggi dan bersemangat belajar tentang sesuatu. Bagaimanapun, ada kalanya anda mempunyai banyak idea yang pelik sehingga menyukarkan orang lain mengikutinya. Dari sudut yang lain, anda adalah seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Masalahnya, anda sukar jatuh cinta dengan sesiapa. Atau, mungkin kerana anda seorang yang pemilih?
4. Tidur meniarap dan kedua-dua belah tangan di angkat dan bengkok sedikit Jika anda tidur sepanjang malam dengan muka menghadap tilam, anda berkemungkinan seorang yang tidak berfikiran terbuka. Kemungkinan, anda juga tidak mempedulikan hal orang lain. Anda juga selalu memaksa orang lain supaya memenuhi keperluan anda. Selalu tidak berhati-hati dan kurang teratur. Mungkin, masanya telah tiba untuk anda merobah cara tidur?
5. Tidur dengan cara sisi Melambangkan bahawa anda seorang yang berkeyakinan. Pada masa yang sama, anda dapat melihat kejayaan dalam apa juga yang anda lakukan. Ini semuanya hasil usaha tanpa henti yang anda lakukan. Mereka yang tidur pada sisi kanan, tangan kanan diregang hingga ke atas kepala dipercayai akan dikurniakan kuasa dan tuah.
6. Sisi dan badan merengkok Anda digambarkan sebagai seorang yang pentingkan diri sendiri, cemburu dan pendendam. Mereka yang berada di sekeliling anda harus berhati-hati, kerana anda seorang yang mudah marah.
7. Sisi, lutut sedikit bengkok dan sebelah tangan di atas tubuh Berbeza dengan personaliti sebelum ini, anda adalah seorang yang lembut, ikhlas, penyayang dan berbudi bahasa. Bagaimanapun, ini bukanlah ukuran bahawa anda seorang yang sempurna. Ada baiknya, anda belajar meningkatkan keyakinan diri dan menerima kesilapan atau sesuatu yang mungkin kurang sempurna. Tetapi, kebahagiaan tetap muncul dalam perjalanan hidup anda.
8. Sisi dengan sebelah lutut bengkok Anda digambarkan sebagai seorang yang cerewet dan selalu merungut. Cepat gemuruh, mudah tertekan, teruja walau hanya perkara-perkara kecil. Anda perlu belajar untuk relaks.
9. Tidur seolah-olah dalam keadaan berdakap Anda sebetulnya dalam kesunyian dan kemurungan kerana terlalu obses dengan kegagalan masa lampau dan masalah yang anda hadapi. Tidur dengan cara ini juga menggambarkan, bahawa anda seorang yang ragu-ragu dan sukar membuat keputusan. Ini menyebabkan ramai yang berpandangan bahawa anda hilang kasih sayang dalam kehidupan. 10. Berselubung dalam selimut Jangan terkejut kalau dikatakan, anda hanya kelihatan `macho' ketika di tempat awam, tetapi hakikatnya anda seorang yang amat pemalu dan lemah. Anda juga menyimpan banyak rahsia. Tetapi, jika anda berdepan dengan masalah, anda hanya memendam dan menderita sendirian tanpa mendapatkan nasihat atau bantuan sesiapa. Atas sebab itulah, wajah anda juga sering berkerut ketika tidur

Khamis, Februari 07, 2008

Keyakinan Diri

Ana ingin berkongsi cerita tentang diri kita ini yang kadang-kadang menghadapi masalah keyakinan diri.
Seorang suri rumah yang berkahwin muda telah memberitahu bagaimana dia merasakan dia tidak langsung pandai mengurus rumah tangganya. Dia sentiasa berasa rendah diri bila berhadapan dengan ipar duai dan rakan-rakan suaminya, membuatkannya selalu menolak ajakan suami untuk menghadiri majlis-majlis anjuran mereka. Jika terpaksa bertemu, dia memilih untuk berdiam diri kerana membuka mulut menjadi satu risiko, yalah, dia tidak mahu memperbodohkan dirinya di hadapan mereka.
Pelajar sekolah yang ana temui pula, selalu berasa rendah diri dengan rakan-rakan yang kelihatan bijak dan aktif. Kadang- kadang terasa cemburu juga. Apabila diminta guru untuk menonjolkan diri ketika aktiviti sekolah, dia sering kali menolak atas alasan tiada kebenaran ibu bapa sedangkan sebenarnya dia rasa sangat takut sekiranya hasil kerjanya itu tidak memuaskan dan akan mengakibatkan dirinya dikritik dan diperkatakan oleh rakan sekolah lain.
Yang berkerjaya pula berasa tekanan di tempat kerja bila melihat rakan-rakan naik pangkat, mendapat kepercayaan bos untuk mengetuai projek-projek atau dapat pelanggan besar. Bila ada majlis yang meraikan mereka yang berjaya mencapai sasaran jualan dan khidmat cemerlang, perasaan sedih dan rendah diri semakin dirasa. Kadang-kadang semasa mesyuarat, selalunya dia tidak mahu membuka mulut untuk memberikan idea-idea yang mungkin boleh diterima pakai oleh pihak pengurusan kerana tidak yakin dengan buah fikirannya sendiri.
Inilah yang dikatakan cabaran kehidupan . Cabaran yang didatangkan Allah yang ada kalanya datang dari luar, dan ada kalanya cabaran itu Allah datangkan dari diri kita sendiri. Sememangnya kita sentiasa perlu tahu yang Allah tidak akan menjadikan sesuatu tanpa sebab. Setiap kejadian Allah itu ada kelebihannya termasuklah kita. Kita perlu tahu yang kita adalah istimewa, bak kata Adibah Noor.
Teringat ana akan perumpamaan yang diberikan oleh Anita Roddick, “Kalau kita fikir yang kita ini terlalu kecil dan tidak mampu untuk memberikan impak dalam kehidupan orang lain, cuba kita tidur bertemankan nyamuk diwaktu malam!” Tergelak saya ketika membaca kata-kata ini pertama kali. Sangat tepat, bukan? Sang nyamuk memang boleh mengganggu dan mampu juga menjadikan kita, manusia, yang berpuluh ratus ribu ganda lebih besar saiz daripadanya tidak dapat tidur lena. Walau kecil, nyamuk tidak berfikiran negatif. Walau kita ini besar berbandingnya, ia tetap berani mengganggu kita walaupun risikonya boleh membawa padah kepada nyawanya sendiri! Tapi dengan kepakaran mengelak yang ada, nyamuk yakin yang dia boleh mengalahkan ‘gergasi’ bergelar manusia ini. Positif sungguh pemikirannya, bukan?
Tetapi, di manakah kita boleh segera menggantikan semangat yakin diri yang hilang dari diri kita? Adakah bank yang menyimpan semangat ini? Atau bolehkah kita meminta derma semangat dari orang lain yang boleh kita masukkan ke dalam badan kita dengan mudah? Masukkan sahaja tiub, dan salurkan semangat masuk semula ke dalam diri kita. Mustahil bukan? Memangnya, jika seseorang hilang semangat, hanya tuan punya badan, jiwa dan raga sahaja dengan kuasa Allah boleh memulihkan kembali dirinya.
Sememangnya perasaan rendah diri dan kurang keyakinan ini perlu kita cantas segera sebagaimana kita mencantas, membuang rumput-rumput liar di halaman rumah kita. Kalau dibiarkan rumput liar tersebut terus hidup, ia bukan sahaja akan merosakkan keindahan halaman rumah kita, malahan, ia mungkin akan menjadi sarang pembiakan binatang berbahaya.Kita perlu sedar bahawa setiap saat hidup kita ini, kita akan menghadapi ujian – sama ada terpaksa, dipaksa atau sukarela. Itu sudah pasti.
Allah telah memberikan peringatan kepada kita yang pastinya Dia akan menguji kita dengan perasaan takut, lapar, kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang. (Surah al-Baqarah: 155)
Jadi , perasaan gabra, takut, cemas, suspen itu memang telah dijanjikan Allah untuk kita. Tetapi, perasaan itu bukanlah untuk kita semua turuti sahaja bahkan ia perlu ditangani dengan kesabaran dan yakin akan bantuan Allah (surah al-Baqarah: 156). Dengan cara itu sahaja kita akan berjaya. Menangani dengan kesabaran pun bukannya bermaksud sabar dengan berterusan mempunyai sikap takut dan tidak yakin pada diri sendiri.
Kesabaran yang diperlukan kita adalah kesabaran memperbaiki kelemahan ketika kita cuba mengatasi masalah yakin diri kita. Kesabaran membina minda yang berfikiran positif, kesabaran memberitahu diri kita yang kita boleh melakukan apa sahaja dengan bantuan Allah jika kita mahu, kesabaran menghadapi kegagalan ketika mencuba, kesabaran menghadapi perasaan malu jika diperkata, kesabaran untuk terus bangun walaupun jatuh berulangkali, kesabaran bangun awal pagi untuk mendapat keberkatan dan kejayaan, kesabaran untuk terus menapak kehadapan walau ditolak kebelakang, kesabaran berfikir bagi mendapatkan idea-idea bernas, kesabaran menghadapi mereka-mereka yang tidak yakin akan kebolehan kita, kesabaran menghadap keluarga dan rakan yang suka mempersenda cita-cita kita.
Ya, kesabaran yang itulah yang dimaksudkan dan diperlukan dalam hidup kita dewasa ini. Allah telah memberitahu kita yang tiada apa akan terjadi kepada kita kecuali dengan izin-Nya. Hanya Dia sahajalah pelindung dan penyelamat kita dan hanya pada-Nya sahaja kita semua bertawakal (At-Taubah: 51). Tiada tempat lain . Hanya pada-Nya jua.
Jadi, walau apa pun terjadi, walau apa sekalipun perbuatan orang terhadap kita, walau bagaimana sangsinya kita terhadap kemampuan diri kita, walau bagaimana takut pun kita untuk mencuba, kita mesti selalu mengingatkan diri kita yang kita ada Allah. Lihat sahajalah contoh seorang bayi yang baru dilahirkan. Semua otot-ototnya lemah. Tiada bayi yang lahir boleh merangkak kemudian terus berlari. Setiap bayi perlu mengharungi setiap peringkat untuk menguatkan otot-ototnya. Untuk mencapai tahap boleh berlari, bayi akan terpaksa berusaha mengangkat badan, jatuh tersembam, jatuh tergolek, luka, tergores kulit, berasa sakit, menangis. Tetapi dengan semangat yakin diri dan percaya pada diri sendiri, setiap bayi akan terus berusaha memperbaiki kelemahan mereka. Akhirnya, hasil titik peluh dan usahanya, kita dapat lihat sendiri…
Ana ingin berkongsi kata pujangga seorang cendekiawan Islam. Beliau telah bertanyakan satu soalan yang perlu kita tanya diri kita dan cari jawapannya. Beliau bertanya
“Jika kita dilahirkan dengan dua sayap. Mengapa pula kita memilih untuk merangkak? “Mengapa ya?