Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan
Bait-bait puitis dalam lagu lama itu cukup untuk menggambarkan ketegaran pasangan bercinta untuk mengharungi apa saja halangan asalkan dapat hidup bersama.
Tanpa memikirkan kesan tindakan mereka untuk jangka panjang, nama-nama seperti Salsabila Yunan, Rozita Mat Ali dan yang terbaru Rosnah Abu Bakar membuktikan bahawa cinta itu adalah segala-galanya.
Cinta membawa mereka ke Lombok - sebuah daerah nun jauh di pedalaman di negara jiran itu sememangnya terkenal dengan kemiskinan dan sepi daripada pembangunan.
Lebih tragis lagi, panggilan pulau Lombok turut memukau hati Zarina Abu Bakar sehingga tergamak meninggalkan tiga anaknya di Kuala Nerang, Kedah. Jejaka Lombok juga didakwa menjadi punca wanita berusia 28 tahun itu bercerai dengan suaminya.
Itu antara kisah panggilan pulau Lombok. Dilaporkan ada ramai lagi wanita Malaysia kini menjadi warga Lombok atas jalinan ikatan kahwin lari tanpa restu keluarga di tanah air.
Hakikatnya, kisah kahwin lari atau cinta sehidup semati telah menjadi tradisi biar pun pada zaman anak dara dikurung ibu bapa. Kisah Tun Teja dilarikan Hang Tuah misalnya memperlihatkan betapa kuatnya tarikan cinta sehingga Teja tega meninggalkan hidup berprestij sebagai anak bendahara di Pahang demi cinta.
Namun hikayat cinta Teja tidak berakhir dengan penderitaan. Meskipuncinta Teja yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah sarat dengan sirih jampi, namun hidup Teja dilimpahi kasih sayang Sultan Mahmud Shah dan kemewahan dalam istana.
Itu kisah Teja. Semangat cinta Teja yang sanggup meninggalkan tunangnya Megat Panji Alam kerana gilakan Hang Tuah nampaknya meresapi semakin ramai gadis Melayu.
Jika Teja merentasi Laut Cina Selatan dan Selat Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka, ada kalangan gadis Melayu memilih Lombok sebagai destinasi terakhir cinta mereka.
Terpesona dengan budi bahasa dan kagum dek kerja keras jejaka Lombok cukup untuk gadis-gadis Malaysia melabuhkan cinta dengan harapan si pemuda akan sanggup menyediakan segala-galanya demi cinta.
Tanpa berfikir panjang atau menjadikan takdir dan jodoh sebagai sandaran, maka gadis-gadis Melayu nekad melarikan diri bersama cinta seolah-olah hidup yang bakal dibina cukup sekadar dengan cinta.
Soalnya siapa yang harus dipersalahkan. Adakah gadis-gadis kerana terlalu mudah jatuh cinta atau jejaka Lombok yang secara tidak sengaja menawarkan cinta? Lantaran cinta tidak bertepuk sebelah tangan - niat mahu mencari rezeki berakhir dengan ikatan jodoh sememangnya tidak akan dilepaskan begitu saja.
Bukankah sepatutnya gadis-gadis itu tahu akibatnya bercinta dan lari ke negara asing. Mereka sepatutnya berani dilambung ombak lantaran berani membina rumah di tepi pantai. Sepatutnya apa juga penderitaan mesti diharungi lantaran cinta sepatutnya mengatasi 'tiada lauk', 'tiada duit' 'tiada pakaian' dan 'tiada tempat tinggal yang sempurna'.
Mereka tidak sepatutnya memilih jalan singkat untuk bahagia dan jalan singkat juga untuk menamatkan kebahagiaan.
Sebab itu apabila diamati pendedahan kisah cinta Lombok, ia bukan cinta sejati. Ia hanyalah keterujaan buta tentang cinta sehingga akhirnya bukan saja terpaksa mengorbankan ikatan suci itu malah meninggalkan benih-benih cinta lantaran tidak betah menahan segala kepayahan hidup di Lombok.
Apa akan jadi kepada gadis-gadis ini? Masing-masing mengiiakan tiada penderaan. Cinta jejaka Lombok masih sarat di hati mereka, layanan keluarga mertua juga dikatakan sungguh istimewa. Cumanya daya tahan gadis-gadis ini untuk hidup serba kekurangan tidak sekuat cinta yang dijaling pada peringkat awal. Sebab itu merela lebih rela kehilangan cinta dan terbukti cinta sahaja tidak mampu membeli bahagia.
Komen: suka promosi cerita@ forum sensasi sebegini sbg pengajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan