Sabtu, Mei 03, 2008

Petikan Cari Kawan Di Hujung Jari

PERJALANAN kehidupan sering membawa seseorang ke arah dan haluan berbeza. Secara tidak langsung, ia turut menjarakkan sesebuah jalinan persahabatan.Setiap individu yang muncul dalam kehidupan seseorang sebenarnya memberi sumbangan dalam kisah kehidupan mereka. Ada di antaranya memainkan peranan yang besar serta meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan.
Apabila sesebuah persahabatan terlerai kerana masing-masing mengharungi jalan hidup berlainan yang sudah 'dicaturkan' buat mereka, jarang sekali jalinan persahabatan itu dapat bercantum semula, apatah lagi jika perpisahan berkenaan meniti jarak waktu yang panjang.Ambil masa sejenak dan imbas semula zaman persekolahan anda. Berapa ramai rakan yang muncul di ingatan anda dan berapa ramai pula yang masih berhubungan dengan anda. Tidak begitu ramai bukan? Kadangkala, apabila kenangan dulu terlintas di fikiran, timbul rasa untuk mengetahui apakah khabar rakan lama itu dan apa agaknya yang mereka lakukan ketika ini. Bagi yang 'proaktif', ingatan yang hadir itu tidak dibiarkan berlalu begitu saja tetapi dijadikan penggerak untuk mereka menjejaki semula rakan yang pernah mengharungi suka duka bersama-sama mereka suatu ketika dulu.

Ketika penggunaan telefon bimbit belum meluas dan sebelum wujud internet berserta pelbagai kemudahan berupa laman sembang dan juga jaringan sosial di dalamnya, ramai yang merasakan sukar untuk mereka mengekalkan sesebuah ikatan persahabatan. Tamat persekolahan, hanya maklumat seperti alamat dan nombor telefon kediaman biasanya yang boleh diharapkan tapi bila jarang berhubung dan ada pula di antara rakan yang sudah berpindah ke tempat lain, persahabatan yang ada boleh terputus begitu saja. Karier, komitmen sosial dan keluarga adalah antara faktor yang selalunya membuatkan sesebuah jalinan persahabatan terputus.

Matlamat menjejak semula rakan lama biasanya subjektif. Sesetengah orang ingin menyambung semula hubungan persahabatan yang pernah terpisah, ada pula yang mahu mengimbas kisah menarik yang pernah dilalui bersama dan tidak kurang juga yang terdorong oleh rasa rindu selepas sekian lama tidak berjumpa. Bagi anda yang berhasrat untuk menjejak semula rakan lama, internet boleh dijadikan saluran untuk anda merealisasikannya.

Tiada ulasan: