Sabtu, September 26, 2009

Iklan Balik Kampung Ketinggalan Zaman







Gambaran balik kampung ketika Aidilfitri harus diubah

SETIAP kali hari raya, 'mood' yang cuba ditonjolkan adalah sama. Dalam satu iklan di televisyen, dipaparkan wajah seorang ibu Melayu menangis kerana anak lelakinya pulang menyambut hari raya di kampung mungkin tangisan kegembiraan. Ibu menunggu di tangga ketika anak muda yang ketinggalan bas tiba di rumah kampung ibunya dengan lori barang. Mereka bersalaman dan berpelukan serta mengucapkan kata-kata yang beremosi. Begitulah lebih kurang jalan ceritanya.

Fenomena balik kampung ini agak mengelirukan, seolah-olah orang Melayu balik kampung setahun sekali pada hari raya saja. Gambaran masyarakat tidak pulang ke kampung halaman seperti dipaparkan itu seolah-olah Malaysia ini sebuah negara yang teramat luas yang memerlukan perjalanan tujuh hari tujuh malam, merentas sungai dan gunung, untuk sampai ke sesuatu destinasi.

Atau, Malaysia seolah-olah sebuah negara miskin hinggakan tambang untuk balik kampung di luar kemampuan rakyatnya. Negara miskin biasanya tidak mempunyai kemudahan komunikasi dan pengangkutan untuk keselesaan rakyatnya. Ini bukanlah gambaran yang wujud di Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Hakikatnya, ada antara rakyat di negara ini pulang ke kampung hampir setiap minggu, dua minggu sekali atau setiap bulan. Anak yang bekerja di Kuala Lumpur, umpamanya, mungkin pulang ke kampungnya di Kuala Pilah, setiap minggu. Bukanlah keterlaluan pula dikatakan ramai mereka yang bekerja di Kuala Lumpur berulang-alik ke Negeri Sembilan atau Melaka setiap hari sama ada memandu atau menaiki bas. Mereka yang bekerja di Georgetown, Pulau Pinang, mungkin pulang ke kampungnya di Perak, setiap minggu, dua kali seminggu atau setiap bulan. Jika kereta api laju beroperasi sepenuhnya, perjalanan dari Seberang Prai ke Kuala Lumpur mengambil masa hanya tiga atau empat empat jam berbanding berbelas jam sebelum ini. Mereka yang tinggal di Ipoh, umpamanya boleh berulang alik ke Kuala Lumpur atau ke Pulau Pinang setiap hari dengan kereta api laju. Begitu juga mereka yang tinggal di Melaka untuk berulang alik ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur.

Menangis kerana balik kampung tidak menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kemudahan infrastruktur komunikasi kelas dunia. Malaysia bukan negara padang pasir atau terpaksa menaiki kereta kuda seperti zaman koboi untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat. Lebuh raya di negara ini merentasi dari utara ke selatan dan dari timur ke barat. Bagi pengurusan syarikat konsesi lebuh raya, mereka mungkin berasa terhina dengan pandangan serong yang cuba ditonjolkan setiap kali musim perayaan, seolah-olah lebuh raya yang dibina di hampir seluruh negara dengan kos ratusan juta ringgit, tidak memberi kesan kepada pergerakan rakyat. Dengan adanya lebuh raya, seseorang boleh bersarapan jam 9 pagi di Johor Bahru dan makan tengah hari pada jam 12 di Kuala Lumpur. Jika pada jam 10 di Kuala Terengganu, sejam kemudian mungkin sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang. Mesyuarat jam 10 pagi di Pulau Pinang, jam 6 pagi masih berada di Kuala Lumpur. Perkhidmatan kereta api juga digunakan secara meluas untuk kemudahan pengangkutan rakyat bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri selain bas dan teksi. Kira-kira 40 atau 50 tahun lalu, untuk pergi rombongan dari Ipoh ke Pulau Pinang, terpaksa bertolak jam 12 malam untuk sampai jam 8 pagi selepas melalui jalan raya yang bengkang-bengkok terutama di Bukit Berapit. Hari ini dari Ipoh ke Prai hanya memerlukan perjalanan sejam setengah.

Anak yang menuntut di Ireland tidak perlu menangis kerana tidak dapat berhari raya di kampung. Setiap hari, dia berbual secara bersemuka dengan keluarganya di Kuala Lumpur melalui skrin komputer menggunakan kemudahan internet. Mereka ketawa pada hari raya melihat wajah masing-masing, walaupun jarak mereka puluhan ribu kilometer.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan seperti itu, mereka boleh membuat panggilan telefon selular pada setiap masa atau setidak-tidaknya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Apakah mereka perlu menangis sedangkan kemudahan komunikasi sudah merapatkan hubungan sesama manusia.

Kebetulan pada hari raya ini, sebuah filem lama, Bujang Lapok disiarkan oleh sebuah stesen televisyen. Dalam filem itu, Sudin (S Shamsudin) mengetuk botol sebagai isyarat untuk bertemu kekasihnya Eton (Zaiton). Begitu juta Eton akan mengetuk botol bila ada hal penting untuk bertemu Sudin. Hari ini, sudah tidak ada orang memberi isyarat seperti itu lagi. Hanya dengan menghantar SMS atau bercakap melalui telefon, mereka sudah berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Suasana dalam Bujang Lapok itu sudah tidak lagi praktikal hari ini. Jika ada orang yang masih mengetuk botol untuk bertemu kekasih, mereka adalah warisan 1950-an. Tetapi, pada waktu itu, pertemuan antara Sudin dan Eton di bawah pokok secara rahsia, mungkin menggamatkan suasana panggung wayang. Bila Sudin memegang tangan Eton, mungkin satu panggung menjadi sunyi sepi dan menarik nafas.

Bukan tidak boleh bersedih langsung pada hari yang mulia ini, tetapi cara dan suasananya perlulah melambangkan keadaan semasa. Adalah tidak wajar menyamakan keadaan 30 atau 40 tahun lalu dengan keadaan hari ini. Dulu perantau sukar pulang ke kampung kerana masalah komunikasi, jalan raya yang tidak sempurna atau tidak ada kenderaan sendiri. Hari ini, pelbagai kemudahan disediakan. Jika pun tidak dapat pulang berhari raya, ia mungkin disebabkan masalah tugas. Biasanya, selepas seminggu, giliran mereka pula pulang ke kampung, Walaupun hari raya sebenar sudah berlalu tetapi matlamat utama ialah untuk bertemu keluarga dipenuhi. Orang Melayu tidak boleh menjadi masyarakat yang terlalu emosional.

Isu hari ini ialah penyalahgunaan kemudahan pengangkutan untuk pulang berhari raya di kampung. Ramai antara orang yang terbunuh pada musim perayaan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya. Jika pulang ke kampung boleh dilakukan setiap masa, mengapa perlu ghairah dan memandu hingga lupa daratan.

Komen: Rencana Mior Kamaru
l Shahid (BH) memang sinonim "Jalan Mesti Ke Depan".

Tiada ulasan: