Khamis, November 05, 2009

Harta Berkat






Kisah ini ana petik dari kiriman ahli blog ana yang aktif, ana juga tidak pasti kebenaran kisah ini cuma atas rasa percaya dengan kisah yang diberikan dan juga inti ceritanya juga adalah baik dan amat boleh diterima(ceritanya dlm diari je). Ana memetik kisah ini dan bubuh ke web ini bagi menjadi tatapan dan difikirkan oleh semua pembaca. Isi kandungannya adalah bertepatan dengan pandangan Islam tentang barakah dalam harta.

Malah kisah yang diutarakan juga ada banyak persamaan dengan ramai orang . Ada yang bergaji lebih RM 3000 sebulan tetapi masih cuba berhutang . Hingga anajuga menjadi pelik sedangkan anaknya tidak ramai dan macam-macam lagi. Benar, kita tidak tahu untuk apakah keperluannya dan apakah masalahnya, tapi dengan gaji yang sebesar itu. Mungkin pengurusan kewangan peribadinya tidak cekap atau macam-macam lagi sebab, antara salah satunya adalah tiada keberkatan.

Cantik pada mata tapi bagaimana pada pandangan Allah ??

Nabi SAW bersabda :

إن لكل أمة فتنة , وفتنة أمتي المال

Ertinya : "Sesungguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta" ( Riwayat At-Tirmizi, no 2337 ; Ibn Hibban , Al-Hakim : Sohih menurut Al-Hakim dan disepakati Az-Zahabi. Hasan Menurut Tirmidzi)

Al-Qaradawi mengatakan, godaan harta bukan pada mengumpul dan mendapatkannya melalui cara yang halal dan menjaga kewajiban agama, tetapi adalah dalam ke'gila'aan mendapatkannya, mencarinya dan menyimpannya walaupun dari jalan yang haram. Selain itu, ia juga tidak endah untuk membelanjakannya walaupun dengan cara yang haram asalkan berbaloi menurut aqalnya, tiada pertimbangan halal dalam hatinya. Rujuk tajuk " Benarkah Perbankan Islam Zalim Kerana Mahal"

Sebagaimana digambarkan oleh Allah SWT, salah satu tanda kehilangan keberkatan dalam perolehan harta adalah :-

أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )

Inilah sikap kebanyakan hartawan dan jutawan Muslim ( yang non Muslim sudah tentu bukan fokus kita) di seluruh dunia. Berada di puncak kekayaan itu menyebabkan mereka memandang unsur keberkatan, halal dan displin yang ditetapkan oleh Allah sebagai kuno dan ketinggalan zaman.

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 )

Ayat surah Kahfi menurut Syeikh Ibn Asyur mengingatkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat harga rendah di bank konvensional. ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah Riba yang haram.

Malangnya umat Islam, bila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling diberikan perhatian 'mega' adalah kadarnya yang lebih mahal dari konvensional kononnya. Tidak terlihat langsung elemen HALAL dan HARAM dalam minda dan hatinya. Padahal, menggagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun sedikit mahal adalah satu amal soleh yang amat terpuji dan itulah yang dilihat oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Jika ini berlaku, ia adalah tanda dan bukti, umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti terhadap kebenaran alam barzakh dan akhirat. Padahal, tiada yang lebih zalim dari sebuah bank yang menyediakan perkhidmatan haram Riba, tidak kira semurah manapun mereka. Ia adalah kerana bank tersebut tetap haram dan amat zalim menurut hak Allah SWT walaupun amat menarik di sisi mata dan hati manusia.

Allah mengingatkan kita lagi bahawa :

انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلاً

Ertinya : "Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain dalam perolehan harta). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya." ( Al-Isra : 21 )

Komen: Sedarkah dan yakinkah kita? Bagaimana anda?

Tiada ulasan: